Kasih Tuhan yang ajaib

atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun yang di bawah, ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. (Roma 8:39 TB)

Semakin kita merenungkan akan bagaimana kasih Tuhan atas kita sesungguhnya, semakin mudah kita mengasihi orang lain tanpa kita mahu menuntut apa-apa daripada mereka agar kita merasa dikasihi atau diterima oleh mereka. Hal ini kerana kita semakin mengenal siapa diri kita di hadapan Tuhan; kita adalah manusia yang berdosa tetapi hal ini tidak dapat mengalahkan mahupun memisahkan kita daripada kasih Kristus untuk kita. Setiap manusia adalah berharga di mataNya. Ini menunjukkan begitu luas dan dalamnya kasih Tuhan itu ke atas kita sehingga kita tidak lagi merasa tertuduh akan dosa melainkan dapat menyelami kasih Tuhan di dalam hati kita kerana kasih Tuhan itu sungguh nyata bagi kita dan sangat ajaib sehingga mampu memulihkan hati kita yang terluka kerana kekecewaan dan yang mengalami kepahitan. Tuhan rindu mencurahkan kasih karuniaNya ke dalam hati kita agar kita tidak merasa sendirian dan agar hati kita berlimpah-limpah akan pengharapan oleh kekuatan Roh Kudus yang tinggal di dalam kita. Mintalah daripada Bapa untuk memperbaharui hati kita dengan FirmanNya agar kita semakin mengenal kasih Bapa di syurga.


Karena itu, saudara-saudaraku yang kekasih, berdirilah teguh, jangan goyah, dan giatlah selalu dalam pekerjaan Tuhan! Sebab kamu tahu, bahwa dalam persekutuan dengan Tuhan jerih payahmu tidak sia-sia. (1 Korintus 15:58 TB)


Tuhan rindu agar hati kita dipenuhi oleh kasihNya. Hal ini kerana hanya kasih Tuhan yang mampu menguatkan kita untuk berjalan dalam menjalani kehidupan ini. Tuhan mahu kita percaya kepadaNya dengan segenap hati bahawa hidup kita ini ada di dalam pegangan tangan Tuhan kerana masa depan sungguh ada bagi orang yang percaya. Serahkanlah seluruh hidupmu kepadaNya dan berjalanlah di dalam ketaatan akan FirmanNya bersama Tuhan Yesus. Mintalah tuntunan daripada Roh Kudus dalam menjalani kehidupan seharian dan buatlah segala keputusan di dalam Dia maka Tuhan akan menjadi semakin nyata di dalam hidupmu.

Kasih Karunia Tuhan

Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal. (Yohanes 3:16)

Mengapakah Yesus sanggup mati bagi manusia meskipun manusia telah mendukakan hati-Nya kerana perbuatan dosa manusia sendiri? Sejak manusia jatuh ke dalam dosa, manusia telah kehilangan kemuliaan Allah (Roma 3:23). Ini bererti tiada seorang manusia pun yang dapat diterima untuk diam bersama Allah yang maha kuasa kerana Allah kita adalah Allah yang suci dan kudus. Maka, ianya adalah perkara yang mustahil bagi manusia untuk diterima di syurga jika hanya melalui perbuatan baik kita. Dosa tersebut telah membuat hati manusia tercemar dan tidak lagi dapat berhubung dengan Tuhan.

Kerana begitu besar kasih Tuhan akan kita, Dia sanggup turun dan mengosongkan diriNya dan menjadi Manusia dengan tujuan untuk memulihkan kembali hubungan manusia denganNya. Tahukah kalian bahawa Tuhan menciptakan manusia agar mempunyai hubungan secara peribadi dengan Dia? Hukum taurat tidak diwujudkan bersama ketika Tuhan menciptakan Adam dan Hawa kerana Tuhan memberikan free will atau kebebasan kepada manusia untuk membuat keputusan sendiri. Sehingga hari ini, tiada seorang manusia pun yang dapat menggenapi kesepuluh perintah Allah sejak adanya hukum tersebut. Tuhan tidak mewujudkan hukum taurat tersebut supaya manusia mematuhinya tetapi agar manusia dapat mengenal dosa melalui hukum tersebut.

Sebab upah dosa ialah maut; tetapi karunia Allah ialah hidup yang kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. (Roma 6:23)

Tuhan tidak pernah mahu hidup kita binasa kerana dosa. Tuhan begitu mengasihi kita dan mahu kita kembali kepadaNya. Maka Tuhan sanggup menebus kita kembali dengan harga yang tak ternilainya iaitu darah Yesus sendiri yang tercurah bagi kita supaya kita didamaikan dengan Tuhan; agar kita dapat memiliki hubungan peribadi dengan Tuhan. DarahNya dicurahkan agar kita yang percaya kepadaNya memperoleh kehidupan yang kekal. Tuhan mahu memulihkan hidup kita dengan cara yang begitu ajaib dan Tuhan punya rencana yang luar biasa bagi setiap orang yang mengasihi Dia. Seburuk mana pun keadaan kita, Tuhan sanggup dan mampu memulihkan hidup kita. Carilah wajahNya selalu kerana Tuhan rindu agar umatNya mencari Dia dengan segenap hati. Mendekatlah kepada Tuhan dan Dia akan mendekat kepadamu. (Yakobus 4:8). Kerana kita tahu bahawa Tuhan kita tidak pernah mengecewakan ketika kita dengan tulus hati menghadap Dia kerana Tuhan kita Allah yang penyayang dan mahu menerima kita apa-adanya.