Hidup ini adalah sebuah perjalanan

Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu. (Matius 11:28)

Siapakah yang anda andalkan hari ini? Andalkanlah Tuhan Yesus senantiasa kerana Dialah sumber kekuatan kita. Nyatakanlah segala hal yang ada di hatimu kepadaNya kerana Dia jugalah yang memelihara kehidupan kita (Filipi 4:6). Tuhan rindu agar kita datang mencari Dia melebihi sesiapapun bahkan kerana hal terkecilpun kerana Dia mahu kita tetap tinggal di dalam Dia. Di mata Tuhan, kita ini bagaikan seorang anak kecil yang memerlukan Bapanya untuk terus memimpin setiap langkah kita tidak mengira berapa usia kita di muka bumi ini. Hal ini kerana, kita tidak mampu untuk berjalan di luar Dia dan Tuhan tahu bahawa kita perlukan Dia. Tuhan tidak pernah berdiam diri ketika kita memerlukanNya dan Tuhan tidak pernah berhenti bekerja untuk terus mendatangkan kebaikan ke atas hidup kita. Pilihlah untuk tetap percaya akan kasih Tuhan yang tak pernah berkesudahan atas kita. Kerana begitu besar kasih Tuhan atas kita, maka kita tidak akan terus dibiarkan untuk tinggal di dalam lembah kekelaman. Pertolongan Tuhan akan tiba pada waktuNya. Sesiapa yang sudah berada di dalam Kristus sudah menjadi pemenang malah lebih daripada pemenang kerana Tuhan telah bangkit dari maut bagi kita dan memberikan hidup yang baru untuk kita yang percaya kepadaNya. Hidup kita kini tidak lagi sama kerana Yesus sudah ada di hidup kita. Maka, janganlah memandang kisah silam yang boleh menjatuhkan iman kita kepadaNya kerana masa depan sungguh ada bagi yang percaya. Tetaplah melangkah untuk terus maju ke depan dan berimanlah kepada Tuhan. Pikirkanlah segala yang benar dan mulia agar hati kita dipenuhi dengan harapan kerana pengharapan di dalam Kristus tidak pernah mengecewakan (Filipi 4:8). Tanggalkanlah segala beban yang begitu merintangi kita daripada terus beriman kepada Tuhan agar Tuhan dapat bekerja dengan bebas di dalam diri kita (Ibrani 12:1).

Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan, apabila kamu jatuh ke dalam berbagai-bagai pencobaan, sebab kamu tahu, bahwa ujian terhadap imanmu itu menghasilkan ketekunan. (Yakobus 1:2-3)

Setiap kesulitan yang kita alami hari ini bukanlah untuk mencelakakan kita melainkan agar untuk membentuk diri kita agar semakin serupa dengan Kristus. Iman diuji bukanlah untuk menjatuhkan kita melainkan agar kita semakin mengenal Tuhan dan supaya kita dapat mengalami Dia dengan pengalaman yang baru bersama Tuhan. Hal ini akan membuat kita semakin teguh dan berakar kuat di dalam Dia kerana iman kita diperkuatkan melalui pengalaman peribadi kita bersama Tuhan. Maka itu janganlah meninggalkan Tuhan ketika kita dihimpit oleh masalah melainkan meneguhkan diri kita untuk terus mendekat kepada Tuhan dengan sengaja iaitu dengan berdoa dan membaca FirmanNya. Hal ini agar hati dan pikiran kita tetap terjaga oleh Firman Tuhan. Justru inilah masa yang tepat untuk kita mengalami Tuhan dengan cara yang baru. Ingatlah bahawa hidup ini adalah sebuah perjalanan dengan Tuhan. Segala musim akan berlalu tetapi Tuhan tetap sama dan tidak akan berubah setia terhadap kita. Dialah yang menjadi kekuatan kita ketika kita masih hidup di bumi ini. Biarlah mata dan hati kita tetap tertuju kepadaNya. Tuhan Yesus mengasihimu.

Mengejar Tuhan di hidupku

Marilah kita melakukannya dengan mata yang tertuju kepada Yesus, yang memimpin kita dalam iman, dan yang membawa iman kita itu kepada kesempurnaan, yang dengan mengabaikan kehinaan tekun memikul salib ganti sukacita yang disediakan bagi Dia, yang sekarang duduk di sebelah kanan takhta Allah.
(Ibrani 12:2 TB)

Berjalan bersama Tuhan di dalam kehidupan seharian adalah suatu perkara yang begitu mulia ketika kita masih hidup di bumi ini. Hal ini kerana kita berjalan bersama Tuhan itu memerlukan iman untuk percaya bahawa Dia sentiasa ada memimpin setiap langkah kita. Berbahagialah orang yang beriman dan yang tidak bergantung pada apa yang dapat dilihat melalui mata jasmaninya, kerana meskipun kita tidak dapat melihat Tuhan melalui mata jasmani kita namun hubungan peribadi kita bersama Tuhan akan menjadi semakin mendalam kerana ianya tidak bergantung pada apa yang kita lihat melainkan hati kita semakin terhubung dengan Tuhan sendiri dan kita semakin mengenal Tuhan lebih lagi. Hati kita mulai dibentuk dan dimurnikan sehingga kita tidak lagi bergantung pada apa yang kita lihat kerana kita semakin mengenal hati Tuhan. Hati Tuhan senang ketika kita beriman kepadaNya tanpa mengambil kira apapun situasi hidup kita kini kerana Tuhan mahu kita bergantung kepada Dia secara peribadi melebihi daripada bergantung pada kuasaNya dan tetap percaya bahawa Tuhan tidak pernah berhenti bekerja untuk mendatangkan kebaikan untuk setiap kita. Tuhan tidak bekerja untuk mencapai standard pemikiran manusia untuk memulihkan keadaan kita tetapi Dia memiliki caraNya tersendiri untuk memulihkan keadaan kita sehingga terkadang kita sendiri tidak dapat memahaminya. Maka, Tuhan berkenan ketika kita beriman kepadaNya kerana Tuhan sungguh-sungguh ada beserta kita dan tidak pernah membiarkan kita begitu sahaja meskipun kita tidak melihat sebarang tanda daripada Tuhan. Tambahan pula, hidup kita di bumi hanyalah sementara. Tuhan tidak mahu kita menjadi tenggelam di dalam masalah sehingga menyebabkan diri kita merasa tersesat di dalam kegelapan dunia ini. Pilihlah untuk memisahkan diri kita daripada masalah tersebut dan tidak membenarkan masalah mula menguasai kita tetapi sebaliknya kitalah yang menguasai masalah tersebut kerana kita percaya bahawa Tuhanlah yang memelihara kehidupan kita dan Tuhan pasti punya maksud yang mulia atas setiap kejadian yang dibenarkan untuk terjadi di dalam hidup kita. Maka carilah perkara yang di atas terlebih dahulu iaitu Kerajaan Allah dan kebenarannya maka semuanya akan ditambahkan. (Matius 6:33) Tuhan tidak pernah dan tidak akan merencanakan sesuatu yang mencelakakan kita tetapi melainkan adalah untuk membentuk diri kita agar semakin serupa dengan Tuhan Yesus melalui setiap kejadian yang terjadi di dalam hidup kita. Di hujung setiap pengumulan yang kita alami, kita akan menjadi semakin tahan uji oleh kerana Roh Kudus yang tinggal di dalam kita yang memberikan damai sejahtera yang melampaui akal budi kita.

Pencobaan-pencobaan yang kamu alami ialah pencobaan-pencobaan biasa, yang tidak melebihi kekuatan manusia. Sebab Allah setia dan karena itu Ia tidak akan membiarkan kamu dicobai melampaui kekuatanmu. Pada waktu kamu dicobai Ia akan memberikan kepadamu jalan ke luar, sehingga kamu dapat menanggungnya. (1 Korintus 10:13 TB)

Selain itu, upah kita sesungguhnya bukanlah di bumi melainkan di syurga nanti ketika kita kembali kepada Bapa. Penderitaan yang kita alami di hidup ini tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang Tuhan akan nyatakan bagi kita kelak. (Roma 8:18) Jadi, bangkitlah dan tetaplah untuk memilih mengikut Tuhan dengan rendah hati dan percaya bahawa kemenangan sudah ada kerana Tuhan sendiri sudah berjanji. Amen.

Sebab itu janganlah kamu kuatir akan hari besok, karena hari besok mempunyai kesusahannya sendiri. Kesusahan sehari cukuplah untuk sehari. (Matius 6:34)