Pahlawan Iman

Marilah kita melakukannya dengan mata yang tertuju kepada Yesus, yang memimpin kita dalam iman, dan yang membawa iman kita itu kepada kesempurnaan, yang dengan mengabaikan kehinaan tekun memikul salib ganti sukacita yang disediakan bagi Dia, yang sekarang duduk di sebelah kanan takhta Allah. ~ Ibrani 12:2

Memilih untuk percaya di saat kita sudah tidak dapat melihat harapan lagi adalah suatu perkara yang sulit untuk dilakukan. Tetapi mahukah kita untuk tetap percaya kepada Tuhan walau sedalam dan segelap manapun keadaan kita? Masih mahukah kita percaya kepadaNya?

Tetapi tanpa iman tidak mungkin orang berkenan kepada Allah. Sebab barangsiapa berpaling kepada Allah, ia harus percaya bahwa Allah ada, dan bahwa Allah memberi upah kepada orang yang sungguh-sungguh mencari Dia. ~ Ibrani 11:6

Di saat beginilah iman kita dicari oleh Tuhan kerana hanya ketika ada iman maka itu menjadi bukti bahawa seseorang itu berpaling kepada Allah. Pilihlah untuk beriman meskipun pada keadaan kita itu tiada dasar untuk berharap (Roma 4:18). Bukankah Tuhan Allah kita mampu mengadakan sesuatu daripada sesuatu yang tidak ada? Benarkanlah Tuhan untuk bekerja melebihi daripada segala pengertian kita sebagai manusia agar kemuliaanNya dinyatakan di atas segala pengumulan kita. Marilah kita memilih dengan sengaja untuk melangkah masuk ke dalam rencana Allah yang besar bahkan ketika kita tidak dapat memahaminya. Kita tidak usah mengerti terlebih dahulu akan rencana Allah bagi kita sebelum kita mahu melangkah. Biarlah Tuhan melatih kita untuk menjadi semakin peka akan tuntunan Roh Kudus dalam kehidupan seharian kita. Ingatlah bahawa kasih karunia Tuhan cukup bagi kita jikalau kita tersilap melangkah. Tetaplah bangkit dan terus maju setiap kali kita terjatuh kerana ianya lebih baik daripada tidak melangkah sama sekali (Matius 18:22). Tuhan sungguh memandang mulia bagi orang yang sanggup memikul salib dan mengikut Dia walau berada di dalam keadaan apapun juga. Berwaspadalah dan jagalah hati agar kita tidak membenarkan segala cara hanya untuk menyelesaikan perkara yang kita hadapi kerana kita percaya bahawa Tuhan kita yang ajaib pasti akan mendatangkan berkat bagi segala perkara yang kita lakukan sesuai dengan perkenanan Allah. Oleh itu, perbaharuilah akal budi kita dengan merenungkan Firman Tuhan selalu agar kita mempunyai pikiran Kristus (1 Korintus 2:16).

Sebab sekalipun tidak ada dasar untuk berharap, namun Abraham berharap juga dan percaya, bahwa ia akan menjadi bapa banyak bangsa, menurut yang telah difirmankan: ”Demikianlah banyaknya nanti keturunanmu.” ~ Roma 4:18

Kesusahan Sehari Cukup Untuk Sehari Kerana Tuhan Pelihara

Sebab itu janganlah kamu kuatir akan hari besok, karena hari besok mempunyai kesusahannya sendiri. Kesusahan sehari cukuplah untuk sehari.” Matius 6:34

Dalam kehidupan kita, adakah kita lebih bergantung pada kekuatan sendiri atau kekuatan daripada Tuhan? Iman seseorang amat teruji ketika seseorang itu mengalami pelbagai percubaan. Apakah itu bererti bahawa pertolongan Tuhan itu tidak ada ketika kita belum melihat suatu mujizat terjadi? Ketika kita berada di dalam situasi yang samar-samar, apakah kita meminta hikmat daripada Tuhan atau hanya bergantung pada pengertian kita sendiri sahaja? Ketika kita berada di dalam situasi di mana kita kekurangan hikmat, adalah baik jikalau kita berdoa untuk meminta hikmat dan tuntunan daripada Tuhan daripada kita hanya terus melangkah dengan bersandar pada pengertian diri kita sahaja.

Sebab itu marilah kita dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunya. Ibrani 4:16

Pertolongan Tuhan boleh datang dalam bentuk hikmat ketika kita meminta daripadaNya. Maka, janganlah kita membiarkan diri kita dipenuhi dengan perasaan kekhuatiran melainkan belajar untuk menyerahkan sepenuhnya kekhuatiran kita kepada Tuhan kerana Dia yang memelihara kita (1 Petrus 5:7). Seseorang yang tinggal di dalam perasaan kekhuatiran tidak akan dapat melihat pertolongan daripada Tuhan datang kerana dia telah dihanyutkan oleh arus masalah tersebut. Jadilah seseorang yang tetap berpegang pada Firman Tuhan supaya kita dapat berdiri teguh ketika mengalami pelbagai percubaan. Kadang kala, kita juga harus melangkah dengan berani dan sesuai dengan iman dan hikmat daripada Tuhan untuk kita. Pilihlah untuk yakin akan Tuhan lebih daripada yakin akan diri sendiri kerana Tuhan mampu mengerjakan perkara yang luar biasa di dalam kehidupan kita. Iman seseorang mudah goyah ketika dia memilih untuk melihat dirinya lebih daripada memandang kepada Tuhan yang Maha Besar. Ingatlah bahawa Tuhan Yesus mampu bekerja mendatangkan kebaikan melalui segala sesuatu termasuklah kelemahan kita sekiranya kita mahu menyerahkan kelemahan kita itu ke dalam tangan Tuhan. Oleh itu, belajarlah untuk tunduk kepada Tuhan dan jangan membiarkan emosi untuk menguasai diri kita supaya kita mampu berjalan dengan mengandalkan kekuatan daripada Tuhan sepenuhnya. Janganlah menuruti keinginan daging kita dengan terlalu melihat akan diri kita baik kemampuan mahupun kelemahan diri kita kerana bukan dengan kemampuan kita juga maka kita dapat mengalami kuasa Tuhan yang dahsyat bekerja di dalam hidup kita apatah lagi ketika kita tidak mampu berbuat apa-apa. Semuanya atas kasih karunia Tuhan maka kita dapat menerima pertolongan daripada Tuhan. Biarlah kita bergantung kepada kekuatan Tuhan dan bukan pada kekuatan diri kita sendiri di dalam melakukan segala perkara. Cukuplah dengan berusaha melakukan yang terbaik sesuai dengan kemampuan kita tanpa melihat sekeliling melainkan tetap fokus melakukan apa yang menjadi perintah Tuhan. Selebihnya, biarlah kita serahkan ke dalam tangan Tuhan dan biarlah kehendak Tuhan yang terjadi. Belajarlah hidup cukup untuk sehari kerana kita punya Tuhan yang pegang untuk esok hari kerana bahkan seluruh masa depan kita ada di dalam pegangan Tuhan. Bawalah di dalam doa akan segala keinginan kita dan tetaplah bersyukur kepada Tuhan akan apa yang sudah ada di tangan kita (Filipi 4:6). Tetaplah berharap kepada Tuhan meskipun kita tidak dapat melihat jalan keluar bagi permasalahan kita kerana jika Tuhan sudah ada di hidup kita maka kita sudah miliki apa yang kita perlukan dan tinggal hanya kita untuk tetap percaya dan beriman kepadaNya untuk menerima janjiNya digenapi. Kerana kita juga punya Tuhan Allah yang baik dan setia dan tak akan pernah meninggalkan anak-anakNya. Amen.

Diberkatilah orang yang mengandalkan Tuhan, yang menaruh harapannya pada Tuhan! Yeremia 17:7