Iman dan Kasih

Peganglah segala sesuatu yang telah engkau dengar dari padaku sebagai contoh ajaran yang sehat dan lakukanlah itu dalam iman dan kasih dalam Kristus Yesus. (2 Timotius 1:13)

Lakukanlah segala perkara di dalam kehidupan kita dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus. Perasaan sering berubah-berubah mengikut situasi yang kita hadapi dalam kehidupan seharian kita. Maka, perasaan bukanlah dasar yang benar dalam mengikut Yesus melainkan iman dan kasih kita kepada Tuhan.

Marilah kita melakukannya dengan mata yang tertuju kepada Yesus, yang memimpin kita dalam iman, dan yang membawa iman kita itu kepada kesempurnaan, yang dengan mengabaikan kehinaan tekun memikul salib ganti sukacita yang disediakan bagi Dia, yang sekarang duduk di sebelah kanan takhta Allah. (Ibrani 12:2)

Bangunlah hubungan peribadi kita dengan Tuhan dengan dasar iman kerana tanpa iman tidak mungkin Allah berkenan kepadanya. Iman kita haruslah dibangun di atas dasar Firman Tuhan sendiri dan bukanlah pengertian mahupun pengalaman kita. Dalam banyak-banyak perkara yang dilakukan sebagai pengikut Kristus, yang terpenting adalah bagaimana kita memilih untuk berjalan dengan Tuhan. Jadi, perbuatan tanpa iman juga adalah sia-sia sekiranya perbuatan kita itu tidak sesuai dengan Firman Tuhan. Dengan demikian, lebih baik berdiam diri dan berdoa dengan lebih tekun daripada melangkah dengan mengandalkan pengertian dan kekuatan kita sendiri tetapi juga bertindak sesuai dengan hikmat dan iman yang Tuhan berikan kepada kita ketika itu. Selain itu juga, oleh kerana keinginan daging kita, ianya lebih mudah untuk melangkah mendahului Tuhan tanpa cuba untuk mengerti isi hati Tuhan terlebih dahulu tentang apa yang kita hadapi pada saat itu. Sudah menjadi sifat manusia untuk mahu segala sesuatu untuk diselesaikan dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, Tuhan kita tidaklah semestinya memiliki pandangan yang sama dengan kita. Kita harus sedar bahawa jalan Tuhan jauh lebih tinggi daripada jalan kita. (Yesaya 55:8). Tiada siapa dapat mengetahui akan bagaimana Tuhan ingin menolong kita tetapi kita dapat mengetahui isi hati Tuhan dalam apa yang kita alami. Dengan rendah hati kita mencari wajahNya, pasti Dia akan memberi diriNya untuk ditemukan. Damai pasti akan memenuhi hati kita sekiranya kita masuk ke dalam hadiratNya. Masalah akan sentiasa ada selagi kita hidup di dunia ini. Tetapi kita sebagai orang percaya, kita sudah punya Yesus yang adalah jalan dan kebenaran dan hidup di mana ianya membawa erti bahawa kita sudah punya apa yang kita perlukan. (Yohanes 14:6) Jadi, apa yang kita perlukan sekarang adalah agar kekuatan daripada Tuhan dicurahkan ke atas kita untuk kita hadapi segala pengumulan kita kerana kita percaya bahawa kemenangan sudah ada di depan.

Ia menutupi segala sesuatu, percaya segala sesuatu, mengharapkan segala sesuatu, sabar menanggung segala sesuatu. (1 Korintus 13:7)

Antara iman, pengharapan dan kasih, kasihlah yang terbesar. (1 Korintus 13:13) Ada ketikanya kita merasa tidak mampu untuk berharap dan tidak berdaya untuk beriman kerana ada hal yang begitu menghimpit kita. Ingatlah bahawa Tuhan tetap mengasihi kita dan tidak pernah meninggalkan kita. Berharaplah kepada kasihNya yang tak pernah berkesudahan ke atas kita. Biarlah kasih Tuhan terus menjadi kekuatan kita untuk melangkah ke depan kerana kita percaya bahawa Tuhan kita Allah yang penyayang dan yang telah mencipta kita dengan demikian teliti dan dahysatnya. Kita ini berharga di mataNya. Tidak sanggupkah Allah untuk membuka jalan di padang gurun dan sungai-sungai di padang belantara? Tidak sanggupkah Allah membuat sesuatu dari yang tidak ada menjadi ada? Ya, Dia sanggup melakukan segala perkara untuk mendatangkan kebaikan atas kita. Biarlah Dia membuat perkara yang baru di dalam hidup kita. Amen!

Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru, yang sekarang sudah tumbuh, belumkah kamu mengetahuinya? Ya, Aku hendak membuat jalan di padang gurun dan sungai-sungai di padang belantara. (Yesaya 43:19)