Kasih Karunia Tuhan

Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal. (Yohanes 3:16)

Mengapakah Yesus sanggup mati bagi manusia meskipun manusia telah mendukakan hati-Nya kerana perbuatan dosa manusia sendiri? Sejak manusia jatuh ke dalam dosa, manusia telah kehilangan kemuliaan Allah (Roma 3:23). Ini bererti tiada seorang manusia pun yang dapat diterima untuk diam bersama Allah yang maha kuasa kerana Allah kita adalah Allah yang suci dan kudus. Maka, ianya adalah perkara yang mustahil bagi manusia untuk diterima di syurga jika hanya melalui perbuatan baik kita. Dosa tersebut telah membuat hati manusia tercemar dan tidak lagi dapat berhubung dengan Tuhan.

Kerana begitu besar kasih Tuhan akan kita, Dia sanggup turun dan mengosongkan diriNya dan menjadi Manusia dengan tujuan untuk memulihkan kembali hubungan manusia denganNya. Tahukah kalian bahawa Tuhan menciptakan manusia agar mempunyai hubungan secara peribadi dengan Dia? Hukum taurat tidak diwujudkan bersama ketika Tuhan menciptakan Adam dan Hawa kerana Tuhan memberikan free will atau kebebasan kepada manusia untuk membuat keputusan sendiri. Sehingga hari ini, tiada seorang manusia pun yang dapat menggenapi kesepuluh perintah Allah sejak adanya hukum tersebut. Tuhan tidak mewujudkan hukum taurat tersebut supaya manusia mematuhinya tetapi agar manusia dapat mengenal dosa melalui hukum tersebut.

Sebab upah dosa ialah maut; tetapi karunia Allah ialah hidup yang kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. (Roma 6:23)

Tuhan tidak pernah mahu hidup kita binasa kerana dosa. Tuhan begitu mengasihi kita dan mahu kita kembali kepadaNya. Maka Tuhan sanggup menebus kita kembali dengan harga yang tak ternilainya iaitu darah Yesus sendiri yang tercurah bagi kita supaya kita didamaikan dengan Tuhan; agar kita dapat memiliki hubungan peribadi dengan Tuhan. DarahNya dicurahkan agar kita yang percaya kepadaNya memperoleh kehidupan yang kekal. Tuhan mahu memulihkan hidup kita dengan cara yang begitu ajaib dan Tuhan punya rencana yang luar biasa bagi setiap orang yang mengasihi Dia. Seburuk mana pun keadaan kita, Tuhan sanggup dan mampu memulihkan hidup kita. Carilah wajahNya selalu kerana Tuhan rindu agar umatNya mencari Dia dengan segenap hati. Mendekatlah kepada Tuhan dan Dia akan mendekat kepadamu. (Yakobus 4:8). Kerana kita tahu bahawa Tuhan kita tidak pernah mengecewakan ketika kita dengan tulus hati menghadap Dia kerana Tuhan kita Allah yang penyayang dan mahu menerima kita apa-adanya.

Published by

Litysa Lagan

Full time student mengambil jurusan accountancy di UTS dan memiliki kerinduan untuk menulis tentang kebaikan Tuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *