Masa begitu cepat berlalu dan tanpa disedari telah berlalunya suku pertama tahun 2023. Setiap orang masing-masing sibuk dalam melakukan pekerjaannya. Tetapi di tengah kesibukan kita, kasih setia Tuhan tidak pernah meninggalkan kita.
Pikirkanlah perkara yang di atas, bukan yang di bumi. ~ Kolose 3:2 TB
Dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan kesibukan ini, saya mula sedar bahawa hidup ini harus tetap berpusat pada rencana Tuhan yang semula tidak kira apapun pekerjaan mahupun tanggungjawab kita di dalam dunia ini. Saya juga menyedari bahawa tujuan hidup yang terutama adalah untuk melayani kehendak Tuhan. Tidak mustahil selama kita mengikut Tuhan, kita boleh kehilangan atau malah harus merelakan diri untuk mengorbankan sesuatu perkara yang telah kita anggap amat penting selama ini dengan tujuan untuk tetap mengutamakan kehendak Tuhan atas hidup kita. Hal ini kerana kita sedar bahawa kehendak Tuhan adalah jauh lebih penting daripada kehendak kita sendiri. Kehendak Tuhan tidak akan pernah gagal dan rencana Tuhan sentiasa yang terbaik untuk kita. Sebaliknya, tidak mustahil juga sekiranya Tuhan justeru akan menebus kembali perkara yang telah kita rela korbankan demi kerajaanNya.
Sebab rancangan-Ku bukanlah rancanganmu, dan jalanmu bukanlah jalanKu, demikianlah Firman Tuhan. ~ Yesaya 55:8 TB
Tuhan tidak pernah lalai dalam menggenapi FirmanNya. Mungkin hari ini kita tidak dapat mengerti akan sesetengah hal yang Tuhan cuba kerjakan dalam kehidupan kita. Firman Tuhan telah dengan jelas mengatakan bahawa jalan kita tidaklah sama dengan jalanNya. Dengan ini kita mengerti bahawa rencana Tuhan digenapi bukanlah bergantung kepada seberapa banyak hal yang dapat kita mengerti dan lakukan tetapi hanya dengan percaya kepadaNya maka rencana Tuhan digenapi sepenuhnya. Jadi saudara-saudari sekalian, marilah kita tetap memilih untuk berserah kepada kehendakNya dan percaya kepadaNya.
Karena kita ini buatan Allah, diciptakan dalam Kristus Yesus untuk melakukan pekerjaan baik, yang dipersiapkan Allah sebelumnya. Ia mau, supaya kita hidup di dalamnya. ~ Efesus 2:10 TB