“…jadilah kudus sebab Aku ini kudus.”

“…jadilah kudus sebab Aku ini kudus.” Imamat 11:45 TB

Sesudah Tuhan membawa bangsa Israel keluar daripada Mesir, Tuhan memberi perintah kepada bangsa Israel untuk menjadi kudus. Kudus yang dimaksudkan di dalam Alkitab adalah memisahkan diri daripada dunia dan tidak menjadi serupa dengan dunia. Di Alkitab juga kerap kali menyatakan agar umat Tuhan menguduskan diri bagi Tuhan kerana Tuhan sendiri adalah kudus. Kekerapan di Alkitab menyatakan tentang hal kekudusan ini menunjukkan bahawa hal ini harus diberi perhatian khusus dan harus difahami dengan akal budi yang diperbaharui.

Ramai yang mengganggap bahawa menjaga kekudusan ini adalah tentang menjaga hati, fikiran serta langkah agar tidak dipengaruhi secara langsung oleh cara dunia yang tidak benar. Mengenai pandangan ini tidaklah salah. Namun begitu, sekiranya kita melihat dari segi pandangan secara keseluruhan di dalam Alkitab, kekudusan adalah melebihi daripada segala apa yang kita perbuat dalam menjaga hati, fikiran serta langkah dalam kehidupan seharian kita. Kembali kepada ketika Tuhan memberi perintah kepada bangsa Israel untuk menguduskan diri mereka, apa yang Tuhan sesungguhnya mahu daripada bangsa Israel adalah untuk menguduskan diri mereka dengan menyerahkan seluruh kehidupan mereka kepada Tuhan agar Tuhan menjadi Allah mereka. Ini bererti, mereka tidak harus hidup dengan cara hidup yang lama lagi seperti ketika mereka dipaksa untuk menjadi hamba atau budak bagi Mesir. Jadi, Tuhan mahu mengubah pola pemikiran mereka yang lama itu dengan memanggil mereka untuk meninggalkan cara hidup yang lama seperti ketika mereka hidup di Mesir. Ini bermakna kedudukan mahupun status mereka setelah Tuhan membawa mereka keluar daripada Mesir bukanlah menjadi hamba lagi. Jadi, kekudusan diri ini adalah tentang bagaimana kita menempatkan diri kita di hadapan Tuhan sama ada kita masih berdiri sebagai hamba yang terbelenggu (dengan dosa serta masalah) atau seseorang yang telah bebas dan menang.

Ketika bangsa Israel keluar dari Mesir, tentera orang Mesir mengejar mereka. Ketika dikejar, bangsa Israel terperangkap di tepi laut iaitu di Laut Teberau. Namun begitu, Tuhan memerintahkan kepada Musa untuk mengangkat tongkatnya dan membelah air laut itu menjadi seperti dinding supaya bangsa Israel dapat berjalan di tengah-tengah laut yang kering dan akhirnya bangsa Israel dapat luput daripada tentera orang Mesir. Perkara yang terjadi ini sungguh dahsyat kerana ini terjadi di luar kemampuan manusia.

Namun begitu, bangsa Israel masih tetap sering kali merungut kepada Musa dan Harun ketika mereka berjalan di padang gurun untuk menuju ke tanah perjanjian yang Tuhan ingin berikan kepada mereka untuk diduduki meskipun Tuhan telah membelah air laut untuk mereka seberangi. Bahkan, mereka ingin kembali ke Mesir kerana mereka tidak tahan berjalan bersama Tuhan di padang gurun. Ini menunjukkan bahawa bangsa Israel masih membiarkan diri mereka terbelenggu dengan cara hidup yang lama meskipun Tuhan telah melakukan pelbagai mujizat di tengah-tengah mereka. Dan ini bermakna, mereka belum sepenuhnya menguduskan diri mereka bagi Tuhan. Ini kerana mereka masih hidup dengan membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh masalah-masalah yang menimpa mereka.

Tuhan telah berfirman mengatakan bahawa umat Israel harus menguduskan diri bagi Dia kerana Tuhan sendiri adalah kudus. Kita harus memahami dengan benar tentang Tuhan yang menyebut diriNya adalah kudus. Tuhan adalah kudus bererti Tuhan adalah terpisah daripada ciptaanNya dan Dia sendiri tidak akan terjejas akan apa yang terjadi di dunia kerana Dialah yang memegang kendali akan seluruh alam semesta. Kita harus memahami juga bahawa Tuhan Allah adalah Alfa dan Omega, Yang Pertama dan Yang Terkemudian, Yang Awal dan Yang Akhir; bererti Dia tidak terbatas mahu pun terikat oleh apapun termasuklah waktu. Sebelum Tuhan memulakan sesuatu, Tuhan sudah pun mengetahui bagaimana sesuatu yang Dia telah mulai itu akan berakhir. Jadi, ini bermaksud Tuhan tidak terpengaruhi oleh keadaan apapun yang kita alami ketika kita berjalan dengan Dia. Tuhan telah memanggil setiap kita untuk menjadi kudus. Maka, walau apapun yang terjadi di depan, kita juga tidak harus membiarkan masalah untuk memberikan akhir kata mengenai hidup kita. Bangsa Israel tidak mengerti akan hal ini ketika Tuhan memerintahkan kepada mereka agar mereka menguduskan diri bagi Tuhan. Ini menyebabkan mereka sering kali mahu kembali ke Mesir kerana mereka telah salah dalam hal bagaimana menempatkan diri di hadapan Tuhan. Mereka tidak dapat memahami akan hal ini kerana mereka telah memilih untuk membiarkan masalah hidup mereka untuk berbicara lebih kuat daripada suara Tuhan yang mahu mengubah dan memulihkan kehidupan mereka. Ini justeru menyebabkan mereka kalah dalam menghadapi musuh mereka.

Dalam hal ini, kita mula memahami bahawa kekudusan diri adalah tentang siapa diri kita di hadapan Tuhan. Ketika kita tahu siapa diri kita, kita akan menempatkan diri kita di hadapan Tuhan dengan benar. Maka, kita juga tidak akan terpengaruh dengan masalah yang kita hadapi; kita tetap kudus di hadapan Tuhan. Kita akan dapat melayani Tuhan dengan sebuah keberanian seperti yang dikatakan di Ibrani 4:16. Walaupun kita sendiri sedang mengalami kesusahan dan ada pergumulan sendiri tidak kira sebesar apapun itu, kita akan dapat tetap melayani sesama kerana kita tahu siapa kita di dalam Tuhan dan Dia adalah jauh lebih besar daripada apa yang kita alami. Sekiranya kita sungguh-sungguh memahami tentang ini, kita akan tetap berdiri tegap dan kemuliaan Tuhan akan terus dinyatakan kerana perkenanan Tuhan ada atas hidup kita. Untuk hal inilah Yesus telah mati bagi kita kerana melalui pengorbananNya di kayu salib maka kita tidak lagi dikuasai oleh dosa dan kita sudah menang.

Sebab itu marilah kita dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunya. – Ibrani 4:16 TB

Tambahan:

Ketika kita mengalami permasalahan, biarlah tetap ada damai sejahtera di dalam hati kita. Damai sejahtera dapat kita perolehi ketika kita meluangkan waktu sepi berseorangan bersama Tuhan dan berdoa. Kerana Tuhanlah sumber damai dan kehidupan kita. Semakin kita mendekatkan diri dengan Tuhan, maka semakin kuatlah roh kita untuk menghadapi segala sesuatu di dunia ini.

Hendaklah damai sejahtera Kristus memerintah dalam hatimu, karena untuk itulah kamu telah dipanggil menjadi satu tubuh. Dan bersyukurlah. – Kolose 3:15 TB

Published by

Litysa Lagan

Full time student mengambil jurusan accountancy di UTS dan memiliki kerinduan untuk menulis tentang kebaikan Tuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *