Sebab itu janganlah kamu kuatir akan hari besok, karena hari besok mempunyai kesusahannya sendiri. Kesusahan sehari cukuplah untuk sehari.” Matius 6:34
Dalam kehidupan kita, adakah kita lebih bergantung pada kekuatan sendiri atau kekuatan daripada Tuhan? Iman seseorang amat teruji ketika seseorang itu mengalami pelbagai percubaan. Apakah itu bererti bahawa pertolongan Tuhan itu tidak ada ketika kita belum melihat suatu mujizat terjadi? Ketika kita berada di dalam situasi yang samar-samar, apakah kita meminta hikmat daripada Tuhan atau hanya bergantung pada pengertian kita sendiri sahaja? Ketika kita berada di dalam situasi di mana kita kekurangan hikmat, adalah baik jikalau kita berdoa untuk meminta hikmat dan tuntunan daripada Tuhan daripada kita hanya terus melangkah dengan bersandar pada pengertian diri kita sahaja.
Sebab itu marilah kita dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunya. Ibrani 4:16
Pertolongan Tuhan boleh datang dalam bentuk hikmat ketika kita meminta daripadaNya. Maka, janganlah kita membiarkan diri kita dipenuhi dengan perasaan kekhuatiran melainkan belajar untuk menyerahkan sepenuhnya kekhuatiran kita kepada Tuhan kerana Dia yang memelihara kita (1 Petrus 5:7). Seseorang yang tinggal di dalam perasaan kekhuatiran tidak akan dapat melihat pertolongan daripada Tuhan datang kerana dia telah dihanyutkan oleh arus masalah tersebut. Jadilah seseorang yang tetap berpegang pada Firman Tuhan supaya kita dapat berdiri teguh ketika mengalami pelbagai percubaan. Kadang kala, kita juga harus melangkah dengan berani dan sesuai dengan iman dan hikmat daripada Tuhan untuk kita. Pilihlah untuk yakin akan Tuhan lebih daripada yakin akan diri sendiri kerana Tuhan mampu mengerjakan perkara yang luar biasa di dalam kehidupan kita. Iman seseorang mudah goyah ketika dia memilih untuk melihat dirinya lebih daripada memandang kepada Tuhan yang Maha Besar. Ingatlah bahawa Tuhan Yesus mampu bekerja mendatangkan kebaikan melalui segala sesuatu termasuklah kelemahan kita sekiranya kita mahu menyerahkan kelemahan kita itu ke dalam tangan Tuhan. Oleh itu, belajarlah untuk tunduk kepada Tuhan dan jangan membiarkan emosi untuk menguasai diri kita supaya kita mampu berjalan dengan mengandalkan kekuatan daripada Tuhan sepenuhnya. Janganlah menuruti keinginan daging kita dengan terlalu melihat akan diri kita baik kemampuan mahupun kelemahan diri kita kerana bukan dengan kemampuan kita juga maka kita dapat mengalami kuasa Tuhan yang dahsyat bekerja di dalam hidup kita apatah lagi ketika kita tidak mampu berbuat apa-apa. Semuanya atas kasih karunia Tuhan maka kita dapat menerima pertolongan daripada Tuhan. Biarlah kita bergantung kepada kekuatan Tuhan dan bukan pada kekuatan diri kita sendiri di dalam melakukan segala perkara. Cukuplah dengan berusaha melakukan yang terbaik sesuai dengan kemampuan kita tanpa melihat sekeliling melainkan tetap fokus melakukan apa yang menjadi perintah Tuhan. Selebihnya, biarlah kita serahkan ke dalam tangan Tuhan dan biarlah kehendak Tuhan yang terjadi. Belajarlah hidup cukup untuk sehari kerana kita punya Tuhan yang pegang untuk esok hari kerana bahkan seluruh masa depan kita ada di dalam pegangan Tuhan. Bawalah di dalam doa akan segala keinginan kita dan tetaplah bersyukur kepada Tuhan akan apa yang sudah ada di tangan kita (Filipi 4:6). Tetaplah berharap kepada Tuhan meskipun kita tidak dapat melihat jalan keluar bagi permasalahan kita kerana jika Tuhan sudah ada di hidup kita maka kita sudah miliki apa yang kita perlukan dan tinggal hanya kita untuk tetap percaya dan beriman kepadaNya untuk menerima janjiNya digenapi. Kerana kita juga punya Tuhan Allah yang baik dan setia dan tak akan pernah meninggalkan anak-anakNya. Amen.
Diberkatilah orang yang mengandalkan Tuhan, yang menaruh harapannya pada Tuhan! Yeremia 17:7