Hidup ini adalah sebuah perjalanan

Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu. (Matius 11:28)

Siapakah yang anda andalkan hari ini? Andalkanlah Tuhan Yesus senantiasa kerana Dialah sumber kekuatan kita. Nyatakanlah segala hal yang ada di hatimu kepadaNya kerana Dia jugalah yang memelihara kehidupan kita (Filipi 4:6). Tuhan rindu agar kita datang mencari Dia melebihi sesiapapun bahkan kerana hal terkecilpun kerana Dia mahu kita tetap tinggal di dalam Dia. Di mata Tuhan, kita ini bagaikan seorang anak kecil yang memerlukan Bapanya untuk terus memimpin setiap langkah kita tidak mengira berapa usia kita di muka bumi ini. Hal ini kerana, kita tidak mampu untuk berjalan di luar Dia dan Tuhan tahu bahawa kita perlukan Dia. Tuhan tidak pernah berdiam diri ketika kita memerlukanNya dan Tuhan tidak pernah berhenti bekerja untuk terus mendatangkan kebaikan ke atas hidup kita. Pilihlah untuk tetap percaya akan kasih Tuhan yang tak pernah berkesudahan atas kita. Kerana begitu besar kasih Tuhan atas kita, maka kita tidak akan terus dibiarkan untuk tinggal di dalam lembah kekelaman. Pertolongan Tuhan akan tiba pada waktuNya. Sesiapa yang sudah berada di dalam Kristus sudah menjadi pemenang malah lebih daripada pemenang kerana Tuhan telah bangkit dari maut bagi kita dan memberikan hidup yang baru untuk kita yang percaya kepadaNya. Hidup kita kini tidak lagi sama kerana Yesus sudah ada di hidup kita. Maka, janganlah memandang kisah silam yang boleh menjatuhkan iman kita kepadaNya kerana masa depan sungguh ada bagi yang percaya. Tetaplah melangkah untuk terus maju ke depan dan berimanlah kepada Tuhan. Pikirkanlah segala yang benar dan mulia agar hati kita dipenuhi dengan harapan kerana pengharapan di dalam Kristus tidak pernah mengecewakan (Filipi 4:8). Tanggalkanlah segala beban yang begitu merintangi kita daripada terus beriman kepada Tuhan agar Tuhan dapat bekerja dengan bebas di dalam diri kita (Ibrani 12:1).

Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan, apabila kamu jatuh ke dalam berbagai-bagai pencobaan, sebab kamu tahu, bahwa ujian terhadap imanmu itu menghasilkan ketekunan. (Yakobus 1:2-3)

Setiap kesulitan yang kita alami hari ini bukanlah untuk mencelakakan kita melainkan agar untuk membentuk diri kita agar semakin serupa dengan Kristus. Iman diuji bukanlah untuk menjatuhkan kita melainkan agar kita semakin mengenal Tuhan dan supaya kita dapat mengalami Dia dengan pengalaman yang baru bersama Tuhan. Hal ini akan membuat kita semakin teguh dan berakar kuat di dalam Dia kerana iman kita diperkuatkan melalui pengalaman peribadi kita bersama Tuhan. Maka itu janganlah meninggalkan Tuhan ketika kita dihimpit oleh masalah melainkan meneguhkan diri kita untuk terus mendekat kepada Tuhan dengan sengaja iaitu dengan berdoa dan membaca FirmanNya. Hal ini agar hati dan pikiran kita tetap terjaga oleh Firman Tuhan. Justru inilah masa yang tepat untuk kita mengalami Tuhan dengan cara yang baru. Ingatlah bahawa hidup ini adalah sebuah perjalanan dengan Tuhan. Segala musim akan berlalu tetapi Tuhan tetap sama dan tidak akan berubah setia terhadap kita. Dialah yang menjadi kekuatan kita ketika kita masih hidup di bumi ini. Biarlah mata dan hati kita tetap tertuju kepadaNya. Tuhan Yesus mengasihimu.

Published by

Litysa Lagan

Full time student mengambil jurusan accountancy di UTS dan memiliki kerinduan untuk menulis tentang kebaikan Tuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *